TEORI PEMBELAJARAN KOGNITIF.
Teori adalah
berkaitan dengan proses mental yang melibatkan pengamatan, pengetahuan dan
pemahaman. Ahli-ahli psikologis yang terkenal seperti Kohler, Koffa,Piaget,Brunner, Ausuble,dan
Gagne. Mereka semua berpendapat proses pembelajaran adalah satu proses dalaman
yang berlaku dalam akal fikiran yang tidak dapat diperhatikan secara langsung
daripada tingkah laku manusia. Proses celik akal, pemprosesan maklumat
menggunakan struktur dalaman kognitif dari pelbagai peringkat umur dan
kebolehan murid. Semua maklumat yang di terima di padankan dengan makluamat
yang sedia ada, diubahsuai dan disusun semula seterusnya
menghasilkan sesuatu maklumat yang baru.
PRINSIP-PRINSIP KOGNITIF:
1. Bahan –bahan
pembelajaran di susun daripada mudah ke susah.
2. Memahami
pembelajaran lebih baik daripada hafazan.
3. Pengetahuan
sedia ada murid digunapakai dan disesuaikan dengan pembelajaran yang baru.
4. Isi pelajaran
perlu disusun mengikut pola-pola yang
tertentu supaya murid lebih mengingati.
5. Setiap murid
mempunyai perkembangan individu yang berbeza.
PENDEKATAN TEORI KOGNITIF.
1. Menekankan
kepada proses mental dalam yang bermaksud maklumat yang di terima diproses
melalui perbandingan, peniruan dan penyatuan dengan maklumat lain yang sedia
ada, diubahsuai pula dan disusun semula.
2. Menekankan
kepada proses pengamatan, ingatan, pemikiran, dan penyelesaian masalah.
TEORI PEMBELAJARAN KONSTRUKTIVITISME.
Teori ini adalah
berkaitan dengan pengajaran yang berdasarkan kepada penyelidikan dan pengalaman.
Pembelajaran terbina daripada hasil pencatuman maklumat dengan pengetahuan
sedia ada. Proses pembelajaran di bawah teori ini juga menggalakan pelajar berkomunikasi dengan
bahan untuk mendapatkan jawapan. Murid di beri peluang meneroka sepuas-puasnya dan mendapatkan
jawapan serta kesimpulan sendiri. Tokoh-tokoh
yang terkenal terdiri daripada Jean Piaget, Bruner, Lev Vygotsky dan
John Dewey. Kesemua tokoh-tokoh ini melihat proses pembelajaran sebagai
aktivfiti pembinaan mental yang dicantumkan dengan maklumat baru. Teori ini
menekankan kepada penglibatan pelajar dalam menyelesaikan masalah. Pelajar akan
membina pengetahuan sendiri untuk menjana idea dengan berdasarkan pengetahuan
sedia ada. Semua maklumat baru yang ada akan diolah dan disesuaikan dengan satu
kerangka maklumat baru yang dinamakan Konstruktivistime.
PRINSIP-PRINSIP PEMBELAJARAN KONSTRUKTIVISME
Proses pembelajaran yang berlaku adalah proses sesuatu
aktiviti yang aktif.
Semasa proses pembelajaran berlaku , ianya melibatkan
aktiviti sosial dan perkembangan bahasa sesama murid. Contohnya aktiviti yang
dijalankan secara kumpulan ketika bermain lego.
Murid akan belajar
dan mendapat sesuatu input yang baru semasa proses belajar dilangsungkan.
Aktiviti yang dijalankan melibatkan perkembangan minda,
pergerakan fizikal dan pengetahuan sedia ada murid.
Guru sebagai fasilitator dalam proses aktiviti pengajaran
dan pembelajaran dijalankan.
Pengetahuan dan idea setiap murid akan digunapakai dalam
proses pembelajaran.
IMPLIKASI TEORI PEMBELAJARAN KOGNITIF DAN KONSTRUKTIF DALAM
PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN.
Guru perlu menggunakan bahasa yang sesuai dengan tahap
kebolehan murid supaya mudah difahami dan murid memahami objektif yang hendak
dicapai oleh guru.
Guru perlu bersedia dengan bahan-bahan yang dapat meransang
minda murid dan senantiasa diubahsuai mengikut aktiviti yang akan dijalankan.
Guru semestinya peka kepada kesesuaian persekitaran
pembelajaran terutama dalam bilik darjah supaya dapat mendorong atau
memotivasikan murid untuk terlibat dalam aktiviti pembelajaran.
Proses pembelajaran yang berlaku perlu mengambilkira
pengetahuan sedia ada murid dan menggunakan pengetahuan tersebut dalam
pembelajaran yang baru. Contohnya aktiviti
makan dan minum yang telah dipelajari dirumah, disekolah guru boleh
mengukuhkan lagi dengan menerapkan adap-adap semasa makan.
Guru bertindak sebagai pemudah cara dan sentiasa menbantu
murid dalam aktiviti pembelajaran.
Keadah pembelajaran secara koperatif dan kolaboratif sangat
efektif digunakan dalam proses pembelajaran.
Penilaian secara tradisi sangat tidak sesuai digunakan lagi,
dan teknik pembelajaran seperti hafazan dan syarahan tidak menjadi begitu
efektif berbanding aktiviti berkumpulan.
TEORI PEMBELAJARAN
JEAN PIAGET
Teori
pembelajaran Piaget lebih menekankan kepada konsep perkembangan, pertumbuhan
kecerdasan yang dipengaruhi oleh lingkugan sosial dan kematangan. Ahli
psikologis yang berasal dari Switzerland menyatakan bahawa semua kanak-kanak
mempunyai kecenderungan yang berbeza mengikut keupayaan dan kebolehan
masing-masing. Menurut Piaget ada 4 tahap perkembangan yang akan dilalui oleh
semua kanak-kanak.
1) Tahap
sensorimotor iaitu dari lahir sehingga berumur 2 tahun dimana kanak-kanak akan
memerhati dan melalui pengalaman akan
mempelajari sesuatu yang dilihat, dirasa dan disentuh.Pada peringkat ini
kanak-kanak akan menggunakan deria motor untuk memahami dan berinteraksi dengan
persekitaran. Pada tahap ini juga tiada konsep pengekalan kerana kebolehan
mental sangat terhad kepada objek yang dapat dilihat sahaja.
2) Tahap
pra-operasi iaitu dari 2 tahun hingga 7 tahun
dimana kanak-kanak mula menggunakan kecekapan kemahiran motor kasar dan halus untuk meneroka sesuatu yang baru. Pada
peringkat ini kanak-kanak mula memahami symbol dan keupayaan berbahasa yang
sangat terhad untuk mengambarkan sesuatu konsep. Perkembangan kognitif akan
menjadi lebih pesat apabila kanak-kanak mula fasih bertutur.
3) Tahap operasi
konkrit iaitu dari 7 tahun hingga 11 tahun dimana kanak-kanak mula menggunakan
pengetahuan dan akal fikiran untuk mempelajari sesuatu yang konkrit.
Kebanyakannya pada tahap ini kanak-kanak memerlukan objek dan
peristiwa-peristiwa sebelum dapat menyelesaikan beberapa masalah. Pada
peringkat ini juga kanak-kanak sudah boleh mempelajari lebih daripada satu
perkara dalam satu masa. Namun demikian keupayaan berfikir secara logik masih
terbatas kepada konkrit sahaja.
4) Tahap operasi
formal iaitu berumur 11 tahun ke atas
yang akan lebih mempelajari sesuatu yang lebih abstrak.( dari konkrit ke
abstrak).Ini adalah peringkat perkembangan kognitif yang paling penting di mana kanak-kanak akan
berusaha menyelesaikan masalah yang konkrit dan abstrak. Penglibatan
kanak-kanak yang lebih aktif akan menggalakan perkembangan pemikiran dan membuat penaakulan.
Merujuk kepada
tahap-tahap perkembangan di atas, Piaget
telah menunjukkan semua kanak-kanak cuba mengadaptasikannya mengikut kepada pengalaman dan kesesuaian
keadaan. Adaptasi dan keseimbangan adalah saling berkait dan saling
mempengaruhi antara satu sama lain. Urutan setiap tahap tersebut tidak dapat
diubah dan saling berkaitan secara tidak langsung.Menurut Piaget proses
perubahan tingkahlaku individu untuk mengadaptasikan diri dalam alam sekitar
adalah sebenarnya proses pembelajaran. Proses asilimasi di mana semua
pengalaman lalu akan akan dikaitkan dengan pengalaman yang baru untuk menghasilkan sesuatu yang lebih baru.
Pengalaman yang baru tersebut pula dinamakan akomodasi iaitu satu proses yang merubah struktur
kognitif.
IMPLIKASI TEORI PEMBELAJARAN PIAGET DALAM PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN.
1. Pengetahuan
sedia ada digunakan dalam proses pembelajaran untuk menghasilkan satu sistem
maklumat yang baru.
2. Isi pelajaran
akan dikembangkan dan dikaitkan dengan mengikut peringkat kognitif kanak-kanak
dan tahap keupayaan masing-masing.Contohnya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu
dengan tema buah-buahan. Murid akan diberi penerangan mengenai jenis –jenis
buah-buahan tempatan, serta dikaitkan dengan rasanya. Pada tahap ini
murid-murid akan memberikan berbagai cerita atau pendapat berdasarkan
pengalaman.
3. Isi pelajaran
akan disusun daripada konkrit ke abstrak iaitu dari senang ke susah. Contoh
dalam matapelajaran matematik. Konsep pra nombor akan diajar dulu sebelum
mempelajari nombor.
4. Penglibatan
kanak-kanak adalah secara aktif dalam aktiviti kumpulan digalakkan dan mereka
saling berinteraksi antara satu sama lain. Komunikasi dua hala dan bertukar
pendapat semasa menjalankan aktiviti menggalakkan perkembangan bahasa.
5. Motivasi secara
instrinsik dipupuk supaya kanak-kanak dapat digerakkan secara aktif dalam
aktiviti. Contohnya dengan memberi pujian , kata-kata galakan, dan sokongan
dapat merangsang mereka.
TEORI PEMBELAJARAN
LEV VYGOTSKY.
Lev Vygotsky
adalah seorang ahli psikologis, dan karyanya sangat terkenal di dunia barat
pada tahun 1960an. Teori Vygotsky lebih
menekankan kepada interaksi antara aspek
internal dan eksternal dalam pembelajaran . Menurut Vygotsky sistem sosial sangat penting dalam
perkembangan kognitif kanak-kanak.
Mereka akan berinteraksi dan
berkolaborasi untuk mengembangkan sesuatu yang baru. Vygotsky menekan bahawa perkembangan
kognitif seseorang kanak-kanak sangat dipengaruhi oleh sosial dan budaya .
Teori beliau juga ada menyebut mengenai
“scaffolding” iaitu memberikan sejumlah
besar bantuan pada tahap awal pembelajaran dan kemudian mengurangi bantuan
tersebut dan memberikan kesempatan kepada kanak-kanak mengerjakan sendiri.
Bantuan yang diberi adalah seperti
peringatan, petunjuk dan dorongan
sehingga kanak-kanak tersebut boleh
melakukannya. Dalam teori ini menyatakan potensi murid dapat
dikembangkan melalui usaha dan pengalaman sendiri dalam proses pembelajaran,
sehingga ke satu peringkat kanak-kanak akan boleh melakukannya sendiri tanpa
bantuan orang lain.
KONSEP KONSTRUKTIVISME VYGOTSKY
Merujuk kepada gambarajah di atas , Vygotsky telah
menerangkan mengenai konsep “scaffolding” . Kanak –kanak mempunyai had
perkembangan individu yang berbeza. Setiap kanak-kanak akan melalui proses
pembelajaran dengan bantuan rakan dan guru sehingga berjaya menguasai dengan
sendiri. Proses ini akan berulang-ulang berkali-kali sehingga kanak-kanak
mempunyai keyakinan untuk melakukannya sendiri walaupun masih mengharapkan
bimbingan daripada orang lain. Pada peringkat ini kanak-kanak akan menunjukkan
kebolehan menyelesaikan masalah melebihi daripada kebolehan diri sendiri. Pada
satu peringkat dimana kanak-kanak berjaya melakukan aktiviti-aktiviti yang
sukar tanpa bantuan orang lain berdasarkan pengalaman masing-masing.
IMPLIKASI TEORI
PEMBELAJARAN VYGOTSKY TERHADAP PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN.
1. Pembelajaran
dijalankan secara koperatif supaya murid-murid dapat berinteraksi antara satu sama
lain. Contoh dalam mata pelajaran sains, murid akan diminta membuat satu uji
kaji mengenai tumbuhan dalam kumpulan. Mereka akan berbincang dan mengeluarkan
pendapat masing-masing dengan menggunakan pengetahuan sedia ada untuk mencapai
satu keputusan.
2. Konsep bantu
sepenuhnya dan cuba sendiri dalam pembelajaran
merupakan satu interaksi pengalaman yang berkesan. Contohnya ada
sekumpulan murid dalam ujikaji sains seperti diatas memerlukan bantuan guru
untuk memberi idea dan menggerakkan mereka dalam aktiviti tersebut sehingga
mencapai satu keputusan.
3. Perkembangan
kognitif murid akan lebih teransang sekiranya pengetahuan sedia ada digunakan
dalam proses pembelajaran. Contohnya dalam aktiviti seperti di atas juga, murid
akan cuba menggunakan pengalaman masing-masing untuk di adaptasikan dalam
ujikaji sains tersebut. Semasa proses ini berlansung pelbagai percubaan yang
berulangkali dilakukan sehingga objektif dapat dicapai.
IMPLIKASI TEORI PEMBELAJARAN KOGNITIF DAN KONSTRUKTIVITSME
DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN KANAK-KANAK BERKEPERLUAN KHAS.
1. Pengalaman
–pengalaman belajar perlu disesuaikan dan dikembangkan dengan keperluan
kognitif kanak-kanak Ini bermaksud sebelum memulakan proses pengajaran dan
pembelajaran guru perlu mengetahui pengetahuan sedia ada murid agar sesuai
dengan isi pelajaran yang akan disampaikan. Contohnya dalam aktiviti kemahiran
hidup iaitu komponen berkebun. Bersoal jawab hendaklah berkaitan dengan tanaman
atau sayuran yang biasa dilihat oleh kanak-kanak dirumah. Sekiranya kanak-kanak
tersebut suka memakan sayuran kacang panjang sudah tertentu ianya akan begitu
teruja hendak belajar cara-cara menanam pokok kacang panjang. Isi pelajaran
akan lebih bermakna dan kanak-kanak akan mendapat mengembangkan satu maklumat
baru yang berkait dengan pengetahuan dan pengalaman yang sedia ada.
2. Pemusatan
perhatian seharusnya lebih ditumpukan kepada proses kognitif kanak-kanak dan
tahap keupayaan yang berbeza. Walaupun aktiviti dijalankan dalam kumpulan namun
tahap mereka sangat berbeza. Kepakaran guru sangat diperlukan supaya
kanak-kanak tidak berasa dipinggirkan. Contohnya dalam kumpulan murid tersebut
diberi tajuk yang sama tetapi aktiviti setiap satunya berbeza. Misalan dalam
matapelajaran matematik, dengan tajuk nombor 0-5. Jadi dalam satu kumpulan
tersebut ada murid yang akan membilang nilai nombor dengan menggunakan alat
pembilang atau yang lain akan menggunakan plastesin untuk membentuk nombor.
Sementara yang lain pula akan mewarna atau menyambung garisan putus-putus yang
berkaitan dengan nombor tersebut. Dalam proses ini guru dapat memberi tumpuan
sepenuhnya kepada setiap orang murid secara individu untuk mencapai objektif
pembelajaran.
3. Keutamaan harus
diberikan kepada penglibatan murid yang aktif dan berusaha sendiri dalam
aktiviti pembelajaran. Ini bertujuan memberi ruang kepada murid untuk
berinteraksi dengan rakan dan bahan-bahan pembelajaran secara meluas. Contoh
dapat dilihat dalam aktiviti kemahiran manipultif. Kanak-kanak akan diberi
peluang bermain dengan lego, berbincang dan bekerjasama dengan rakan untuk
mencipta sesuatu binaan. Guru perlu menghidupkan suasana pembelajaran tersebut
dengan pelbagai kaedah supaya kanak-kanak merasa ada keinginan untuk
melakukannya.
4. Perbezaaan
individu perlu diambil kira supaya setiap aktiviti dapat disusun mengikut tahap
keupayaan masing-masing. Pengalaman sebagai guru Pendidikan Khas, kita perlu
mengetahui sedikit sebanyak latar belakang kanak-kanak tersebut. Ianya banyak
membantu dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Contohnya seorang
kanak-kanak autisme yang terlalu sukar untuk difahami. Kadang kala beliau akan
menjadi pasif dan terlalu aktif dalam setiap masa. Berbanding dengan seorang
kanak-kanak perkembangan lambat (slow learner) yang boleh dikategorikan dalam
kumpulan yang boleh belajar. Oleh yang demikian bahan –bahan dan aktiviti
pembelajaran yang berkaitan adalah sangat berbeza antara keduanya. Guru perlu
tahu kehendak dan mood kanak-kanak ini sebelum memulakan pengajaran. Mood dan
kehendak itu pula perlu diubahsuai dengan objektif dan aktiviti pembelajaran
supaya kanak-kanak tersebut tidak rasa rendah diri dan terasing.
5. Guru perlu
mendorong dan memotivasikan kanak-kanak berkeperluan khas ini dalam proses
pembelajaran. Mendekati mereka dengan penuh kepercayaan dan kasih sayang akan
membuat mereka rasa dihargai dan rasa diterima. Lenggok dan bahasa badan guru
bukan sahaja dapat memberikan keyakinan kepada mereka bahkan melenyapkan
sedikit sebanyak rasa rendah diri yang ada dalam diri mereka. Secara tidak langsung
mereka akan mempercayai guru adalah rakan yang baik dan boleh menerima mereka.
Penggunaan bahasa yang sesuai dengan aras mereka serta mudah difahami banyak
membantu menyampaikan maksud atau hasrat yang hendak disampaikan oleh guru.
Selain daripada itu ganjaran dari segi materialistik seperti gula-gula, biskut,
kata-kata pujian dan senyuman guru akan turut memotivasikan kanak-kanak
tersebut. Objektif pembelajaran akan lebih cepat tercapai jika guru dapat
menggunakan barang-barang permainan sebagai bahan bantu mengajar. Kanak-kanak
akan cepat teransang dan dapat digerakkan untuk melakukan akitviti-aktiviti
pembelajaran.
6. Bagi kanak-kanak
berkeperluan khas, bantuan akan diberikan sepenuhnya pada peringkat awal, yang
akan dikurangkan secara beransur-ansur sehingga kanak-kanak tersebut boleh
berdikari dengan sendirinya. Contohnya dapat dilihat dengan jelas dalam
aktiviti pengurusan diri iaitu memakai pakaian. Pada peringkat pertama guru
akan membantu kanak-kanak tersebut memakai pakaian mengikut langkah-langkah
betul. Aktiviti ini akan dilakukan secara latihtubi sehingga kanak-kanak tersebut berkeyakinan
untuk melakukan sendiri. Akhirnya kanak-kanak tersebut akan diberi ruang dan
masa memakai pakaian dengan sendiri sehingga berjaya. Guru pada ketika itu hanya
memberikan arahan sahaja supaya kanak-kanak tersebut dapat mengingati semula
langkah-langkah yang telah dipelajari.
7. Bagi kebanyakan
kanak-kanak berkeperluan khas penilaian di buat lebih kepada pemerhatian.
Berdasarkan pengalaman saya, penilaian secara pemerhatian banyak membantu guru
mengkaji dan memahami perlakuan kanak-kanak tersebut. Pemerhatian boleh dibuat
samada secara individu atau ketika kanak-kanak tersebut dalam kumpulan.
Perubahan tingkah laku yang ditunjukkan akan
memberikan jawapan kepada guru semasa membuat pemerhatian. Perubahan
tingkah laku tersebut boleh berlaku juga apabila kanak-kanak berinteraksi
dengan bahan-bahan pengajaran atau bahan media.
8. Peranan guru
pendidikan khas adalah sama dengan tugas guru di arus perdana. Sebelum
menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran, perancangan perlu dilakukan
dengan teliti supaya objektif dapat dicapai sepenuhnya. Guru mesti memainkan
peranannya sebagai pemudah cara atau penolong dalam setiap aktiviti
pembelajaran. Guru perlu mahir memilih bahan-bahan yang sesuai dengan aktiviti
yang dirancang. Guru juga berperanan sebagai pembimbing yang sentiasa membantu
murid-murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
RUMUSAN.
Keseluruhannya teori – teori yang telah dibincangkan di atas
telah menyentuhkan banyak perkara dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Kedua-dua teori tersebut saling berkait antara perkembangan kognitif dan proses
penyelidikan, proses meneroka dan cuba jaya. Perubahan tingkah laku yang
positif akan dicapai setelah berlakunya proses pengajaran dan pembelajaran yang memberi impak kepada pengukuhan
pengetahuan dalam memori. Struktur pengetahuan akan berkembang dengan
bertambahnya pengetahuan ke dalam ingatan jangka panjang. Teori – teori ini
sangat sesuai untuk diaplikasikan dengan kanak-kanak berkeperluan khas.
Perkembangan kognitif mereka sangat berkait dengan pengetahuan sedia ada untuk
membentuk satu pengalaman yang baru. Proses pengajaran dan pembelajaran perlu
memberikan ruang kepada kanak-kanak meneroka sendiri bagi meningkatkan lagi
keyakinan diri dan proses interaksi dengan rakan dan bahan. Berdasarkan teori yang telah dibincangkan di
atas, saya berpendapat adalah sangat perlu bagi guru-guru mengaplikasikan
kaedah dan teknik dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Murid-murid diberi
peluang bergerak bebas menjalankan aktiviti dan berinteraksi dengan bahan dan
guru. Akhir sekali keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran saling bergantung
bersama antara murid, guru dan
bahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan